Sunday, February 27, 2011

Makanan Arab di Saba Restaurant


Hari ini kakak saya belanja makan di restoren arab di Cyberjaya. Kami di fahamkan kalau nak makan sesuatu yang istimewa di Cyberjaya. Maka anda haruslah ke di Restoren Saba.

Sewaktu kamitiba direstoren itu pada tenhgahari ahad itu, suasana sibuk kerana begitu ramai pelanggan. Meskipun restoren Saba mempunyai ruang makan yang cukup luas dan merupakan corner unit namun kesemua meja dan kerusi penuh. Nasib baik kami mendapat tempat di tingkat dua restoren ini.

Kami memesan Nasi Ayam Kabsa serta Lamb kebab serta salad arab. Nasi Ayam Kabsa dihidangkan bersama acar timun, sambal tomato dan kuah sayur macam dalca. Nasi dan ayam nya sedap sekali, nasinya panjang-panjang dan sebutir-sebutir. Ayamnya pula sedap dan lembut. Maaf kerana terlalu lapar dan makanan nya dihidangkan begitu menyelerakan maka terlupa pula nak ambil gambar. Gambar diatas dipinjam dari fotopages. Jangan pula bimbang botol-botol yang nampak seperti arak sebenarnya bukan arak, ianya air barbican seperti jus sparkling yang mempunyai pelbagai perisa.


Lamb kebabnya di hidangkan bersama roti pita dua ketul daging kebab yang lembut dan enak, sayur salad, french fries serta sos tahini. Jika mahukan hidangan yang lebih ringkas dan ringan cubalah versi kebab sandwichnya yang hidangannya lebih kecil.

Harganya? jangan bimbang ianya berpatutan, tidak terlalu mahal. Untuk nasi ayam kabsanya sekitar RM10 sepinggan. Manakala sandwic lamb kebabnya RM8.

Thursday, October 22, 2009

Laksa Penang


Maafkan saya kerana sudah terlalu lama tidak menulis di blog. Ada beberapa hal dan masalah yang datang bertimpa-timpa yang menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk kemaskinikan kandungan blog ini.

Bagaimanapun kali ini tajuk utama kita ialah salah satu makanan kegemaran saya. Laksa Penang atau Penang Asam Laksa. Memang bunyinya pun dah buat kita berselera. Istimewanya Laksa ini bukan sahaja rasanya yang enak dan segar tetapi juga ramuannnya yang semuanya sihat-sihat belaka. Laksa, Ikan, ulam-ulaman, nenas, bawang , timun mengandungi sumber karbohidrat, protien, vitamin dan zat galian yang diperlukan untuk badan. Laksa pun tak terlalu heavy seperti nasi lemak, mee goreng dan lain-lain. Pendek kata laksa Penang memanglah makanan yang sesuai bagi orang yang ingin mengurangkan berat badan. Ianya ringan dan sedap tapi mengenyangkan.

Bila sebut tentang Laksa ini, salah satu tempat yang mempunyai laksa yang sedap ialah Laksa Shack. Laksa Shack merupakan kedai laksa speciality. Disini bukan je ada Laksa Penang, Tapi juga berjenis-jenis Laksa yang lain seperti Laksa Sarawak, Laksa Johor , Laksa Thai dan lain-lain. Pendek kata jika nak rasa laksa-laksa yang lain, datang saja ke Laksa Shack.

Harganya pula mungkin mahal sedikit tapi kuah laksa ni memang terangkat.

Kedai Laksa Shack ini ada terdapat di pasaraya atau pusat membelibelah seperti di Midvalley, Giant Kelana Jaya dan Pavillion.

Tempat-tempat lain yang turut menghidangkan Asam Laksa yang sedap ialah di Madam Kwan (Midvalley), Cafe di Tgkt3 Jayajusco Midvalley dan Little Penang Midvalley Kuala Lumpur.

Jadi sehingga kita berjumpa lagi dalam blog Nak makan apa, saya ucapkan Selamat menjamu selera.

Sunday, February 22, 2009

Lontong Mengancam


Pagi tu kami ada kawan lama yang datang jauh dari Kelantan. Kawan lama sekolah yang dah lama tak jumpa. Selepas mengambilnya dari stesen bas, terfikir pula nak bawa dia ke mana nak makan pagi ni. Nak makan apa ya pagi ni? Kalau nasi lemak tu , dia pun dah biasa di Kelantan pun ada. Fikir punya fikir, teringat pula dekat lontong kow di Medan selera Seksyen 14, Petaling Jaya.

Kedainya di tingkat satu medan selera tersebut. Di sini ada dua kedai yang menjual lontong best. Kedai pertama namanya Kedai Kak Yah tak silap saya. Disini menunya cuma dua item saja. Lontong dan nasi lemak, tapi kedua-duanya special dan jadi favorite di kawasan ini. Kalau pagi-pagi minggu, ramai yang beratur untuk beli lontong atau nasi lemak di sini.


Lontong di sini istimewa kerana dihidangkan dengan kuah sate dan sedikit sambal disamping ramuan biasanya iatu nasi himpit, kuah lemak, sayur dan serunding kelapa. Boleh juga pilih lauk tambahan seperti sotong, paru atau rendang. Nasi lemak disini pun mengancam, rasanya lebih kurang cam nasi lemak antarabangsa yang terkenal di Kampung Baru tu.


Kedai lontong yang satu lagi pula namanya kedai Cik Nor, disini dijual lontong, mee,mihun goreng dan berbagai jenis kuih-muih melayu. Lontong nya pun sama hebat dengan lontong di Kedai Kak Yah , di hidangkan dengan Kuih Sate dan lauk pilihan. Harganya pun berpatutan, sekitar RM3 ke tas bergantung pada jenis lauk tambahan yang dipilih.


Jadi kalau nak rasa keenakan lontong sebenar jangan lupa cuba lontong disini, rugi kalau tak cuba.

Sunday, February 15, 2009

Burger Hebat


Rasanya lama benar tak tulis di blog ni. Baru-baru ni sibuk sikit itu yang lama tak tulis apa-apa.

Malam semalam semasa keluar dengan anak saudara, terasa lapar pula. Tapi nak makan apa ye. Kebetulan duit pun tak banyak. Anak-anak sedara pula ramai. Tak terasa pula nak makan Mamak. Rasa dah boring dah, makan mamak tiap-tiap hari. Tiba-tiba teringat pula kat abang burger kat Seapark tu.

Abang burger park van dia malam-malam depan 7 Eleven di Seapark (Paramount Garden).
Burger di sini sedap harga pun boleh tahan. Real value for money daripada burger fastfood cam Mcdonalds yang harganya mahal tapi kadang sayur pun tak ada. Harganya 2-3 kali lagi mahal tapi tak sesedap mana pun. Kalau di Van Abang burger ni macam-macam ada dari burger biasa special, cheese, buger ikan, rusa ,udang pun ada. Rasanya pun sedap memang berbaloi makan.

Kalau nak tahu, burger dan hotdog sini di masak betul-betul. Ia dibelah tengah untuk memastikan semua bahagian betul-betul masak. Isinya padat dengan sayur seperti salad atau kubis, timun, tomato dan bawang. Sosnya dan mayonis pun banyak. Pendek kata memang ummph... dan menyelerakan betul.

Yang sedihnya dari dulu sampai sekarang abang ni operate bisnes dia kat van saja. Kan bagus kalau ada pihak cam MARA ke boleh tolong dia kembangkan bisnes dia cam buka fastfood chain ke. Bolehlah Malaysia berbangga mempunyai fastfood chain burgernya sendiri.

Monday, January 19, 2009

Resepi untuk orang lepas pantang


Tak lama dulu adik saya baru lepas bersalin, jadi dia pun tinggal sebentar dengan kami kerana suaminya kerja banyak outstation. Kalau nak tahu makanan orang bersalin ni payah sikit. Tak boleh makan makanan bergoreng atau sebarangan. Ayam, daging, ikan yang gatal-gatal dan sayur yang sejuk-sejuk lagi tak digalakkan terutama bagi yang ada buat pembedahan pula.

Jadi semasa dia tinggal bersama kami, terpaksalah masak yang special untuknya. Antara resepi tersebut ialah resepi sup ikan haruan. Begini caranya

SUP IKAN HARUAN


BAHAN 2

Ikan haruan - 2/3 ekor bersaiz sedang di perap dengan asam jawa untuk hilangkan bau hanyir
Bawang putih & bawang merah
Halia
Sedikit lengkuas
Sedikit rempah sup & sup bunjut
lobak merah
lada hitam
tomato

Perapkan ikan haruan dengan asam jawa untu 20-30 minit, kemudian basuhkan ia bersih-bersih. Didihkan air sedikit dan masukkan bawang putih & bawang merah ( ditumbuk), halia, lengkuas. Biarkan seketika dan masukan pula rempah sup atau sup bunjut dan lada hitam. Masukkan ikan haruan, lobak merah last sekali tomato (optional) .Tambah garam & gula secukup rasa Masakkan hingga ikan telah masak dan kuih pekat sikit. Hidangkan panas-panas bersama daun sup, daun bawang serta bawang goreng. Sedap....mai makan.

Untuk orang yang bersalin digalakkan menambah halia dan lada hitam banyak sedikit, supaya badannya tak sejuk. Elakkan penggunaan ajinomoto yang tidak bagus untuk kesihatan sebaliknya gunakanlah garam kasar dan sedikit gula untuk mendapatkan efek yang hampir sama dengan ajinomoto.

Selamat mencuba

Sunday, January 11, 2009

Cendol & Char Kueh Teow





Baru semalam saya balik dari Bukit Mertajam menziarahi kawan lama yang tinggal di situ. Seronok bila dapat kawan lama ni. Masing-masing bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Sambil bercerita kawan ajak gi makan apa yang special kat Bukit Mertajam, Pulau Pinang ni.
Mula-mula dia bawa makan char kueh teow dekat warong Mat Ariff (tak silap) di kampung Mengkuang. Warongnya tepi jalan. Char kueh teow di sini memang best tambah berbaloi coz harganya nya cukup murah RM 3.00. Kalau nak lebih try yang saiz besar atau yang special, banyak udangnya. Servisnya pun bagun bagus tak sampai lima minit dah siap (kalau tak ramai pelanggan).

Kemudian dia bawa pula makan cendol di BM best cendol di tengah-tengah bandar Bukit Mertajam, dekat dengan kawasan pasar. Disini cendolnya besar-besar dan air cendolnya pula segar dan sedap. Memang intimewa. Tidak kurang hebat juga cendol di Kampung Penanti yang dijual di sebuah gerai tepi jalan. Disini cendolnya tirus dan panjang namun air cendolnya tetap segar dan menyelerakan.

Jadi jika kebetulan anda lalu di Bukit Mertajam,jangan lupa cuba semua hidangan istimewa disitu. Jika nak duduk lebih lama boleh duduk di Hotel Summit di tengah bandar. Sekiranya nak cuba duduk di pondok bolehlah cuba duduk di An-Nahdhoh Inn di kampung Petani. Suasana nya mendamaikan lebih-lebih lagi berpeluang solat jemaah bersama-sama pelajar-pelajar tahfiz di situ. Hari Sabtu pula ada kuliah perdana dan gerai-gerai jualan di adakan di kawasan Madrasah An-Nadhoh ini. Ceramah dia memang bagus, gerai-gerai pun boleh tahan macam-macam ada dijual.

Hingga lain kali, Selamat mencuba

Friday, December 19, 2008

Doner Kebab


Mungkin tak banyak orang yang suka rasa kebab tapi mungkin ini kerana mereka belum jumpa dengan kehebatan rasa kebab yang sebenar.

Rasanya di Malaysia, ramai yang kenal kebab yang ada di pasar malam atau depan masjid pada hari jumaat sahaja. Tetapi kebab-kebab ini bukanlah jenis kebab yang autentik seperti yang dijual oleh orang arab/pakistan/turkey dll yang seantaro dengannya.

Jenis kebab di pasar malam kita sebenarnya daging burger atau daging cincang yang di tampal pada skewer dan dipanggang. Manakala kebab yang dijual orang arab dibuat dari daging dipanggang sebenarnya, bukannnya daging cincang ataupun daging burger. Itu sebabnya rasa kebab pasar malam jelas kurangnya.

Nasib baiklah ada satu gerai kebab ni di Jalan Tengku Abdul Rahman (Jln TAR) yang masih menjual kebab yang autentik. Ianya dah lama dibuka. Seingat saya semasa habis SPM dulu ianya telah dibuka dan ini ialah lebih dari 15 tahun lalu. Gerai ini terletak di antara Kamdar dan restoren Bilal. Ianya gerai kecik saja. Waktu perniagaan mula waktu makan tengahari pukul 1 lebih kurang.

Kebab disini bukan saja enak. Isi nya banyak daging panggang yang di potong halus serta sayur-sayuran cincang seperti tomato dan bawang. Sos nya pun enak dan berbagai. Bila makan panas-panas rasanya emmm sedapnya tak terkira. Hingga kini saya masih teringat akan keenakannya.

Tapi sedih juga bila tengok setelah sekian lama gerai yang jual makanan enak begini masih seperti dulu keadaannnya., Kalaulah ada pihak seperti MARA atau Prosper dapat memberi bantuan supaya perniagaan bumiputera yang hebat begini dapat di besar dan dikembangkan alangkah bagusnya. Kalau ia di uruskan dengan baik tak mustahil kita dapat jadikan ia francais Kebab Malaysia yang hebat. Ya, saya pernah makan satu francais kebab di Malaysia yang agak famous juga satu masa dulu tapi rasanya tak dapat menandingi kehebatan kebab di gerai ini walaupun harganya lebih mahal.

Jadi apa lagi, kalau anda berada di Jalan Tar waktu tengahari jangan lupa cuba kebab di gerai ini. Tapi sabar... anda mungkin kena tunggu sebentar fasal quenya panjang. Almaklum benda sedap banyaklah peminatnya.